اَلْعَادَةُ مُحَكَّمَةٌ
APLIKASI KAEDAH
DI DALAM
KES HARTA
SEPENCARIAN
[Wan Najwa Aqilah Binti Wan Mohd Norudin]
PENDAHULUAN
Dalam proses ijtihad, para mujtahid akan merujuk
kepada sumber-sumber utama syariah Islam iaitu al-Quran dan sunnah. Namun,
pelaksanaan hukum-hakam tersebut akan mengambil kira situasi semasa dan
kebiasaan masyarakat di sesuatu tempat itu. Perlu difahami bahawa kedudukan
sesuatu hukum itu tidak tertakluk mutlak kepada gambaran situasi semasa. Ia
tetap didasari dengan wahyu Allah SWT. Namun, adat hanyalah salah satu faktor
yang akan dipertimbangkan oleh para ulama dalam mengeluarkan hukum.
Justeru, melihat kepada adat sebagai salah satu faktor
penyumbang kepada ketentuan hukum, maka para ulama telah menggagaskan sebuah
kaedah fiqh iaitu 'Al-'Adatu Muhakkamah yang bermaksud, adat dijadikan sebagai
hukum. Kaedah ini berdasarkan beberapa dalil. Salah satunya adalah hadis yang diriwayatkan
oleh Ibn Mas'ud iaitu:
مَا رَءَاهُ اْلمُسْلِمُوْنَ حَسَنًا فَهُوَ عِنْدَ اللهِ حَسَنٌ وَمَا رَءَاهُ
المُسْلِمُوْنَ سَيْئًا فَهُوَ عِنْدَااللهِ سَيْءٌ
“Apa yang dipandang baik oleh orang-orang Islam
maka baik pula di sisi Allah, dan apa saja yang dipandang buruk oleh orang
Islam maka menurut Allah pun digolongkan sebagai perkara yang buruk."
Walaupun terdapat perbincangan di kalangan ulama tentang kedudukan hadis
ini tetapi maksud hadis tersebut bertepatan dan tidak bertentangan dengan akal.
Justeru, perkara yang paling penting dalam memahami
adat serta uruf yang diiktiraf di sisi para ulama adalah ia perlu bertepatan
dengan Al-Quran dan Hadis. Jika ia bertentangan dengan kedua-dua sumber utama
berkenaan, maka ia tertolak.
PENGERTIAN KAEDAH
اَلْعَادَةُ مُحَكَّمَةٌ
“Adat kebiasaan dapat dijadikan hukum”
Pengertian al-‘aadah muhakkamah secara bahasa, al-‘aadah diambil daripada
perkataan al-‘aud (العود) atau al-mu’awadah ( المعاودة)
yang membawa maksud berulang (التاكر ار). Dari sudut istilah pula,
terdapat beberapa pendapat ulama’ dalam mendefinisikan perkataan al-‘aadah ini.
Antaranya ialah,
Ibnu nuzaim mendefinisikan al-‘aadah dengan
عبارة عما يستقق ر في ا لنفو س من الا مو ر المتكررة المقبولة عند الطباع الساليمة
“Sesuatu
ungkapan dari apa yang terpendam dalam diri,perkara yang berulang-ulang yang
biasa diterima oleh tabi’at(perangai)yang sihat.”
Menurut al-Jurjani pula:
العادة ا استمر النفس عليه على حكم المعقول وعا دوا اليه مرة بعد اخرى
“Al-‘aadah
ialah sesuatu(perbuatan/perkataan) yang terus menerus dilakukan oleh manusia,
kerana dapat diterima oleh akal, dan manusia mengulang-ulanginya terus menerus.”
Namun begitu, terdapat dalam kalangan para ulama yang mengatakan
al-‘aadah juga membawa pengertian yang sama dengan al-urf kerana substansinya
sama. Kedua-dua perkataan ini hanya berbeza ungkapan tetapi tetap membawa
maksud yang sama, al-urf telah di definisikan dengan:
العرف هو ما تعارف عليه
الناس واعتاده فى اقوالهم وافعالهم حتى طار ذالك مطردا غالبا
“Urf adalah
apa yang dikenal oleh manusia dan mengulang-ulangnya dalam ucapannya dan
perbuatannya sampai hal tersebut menjadi biasa dan berlaku umum.”
Mengikut pengertian Abdul Wahab Khalaf pula, beliau telah menafsirkan:
العرف هو ما
تعارفه الناس وسار عليه من قول او فعل اوترك ويسمى العادة وفى لسان الشرعيين لافرق
بين العرف والعادة
“Al-urf ialah sesuatu yang telah diketahui
oleh kebanyakan orang dan telah menjadi amalan mereka sama ada dari sudut perkataan,perbuatan
atau sesuatu yang ditinggalkan. Hal ini telah membawa pengertian yang sama
dengan al-‘aadah dan menurut istilah syarak
tidak ada perbezaan di antara al-urf dan al-‘aadah.”
Maka, dapat di fahami bahawa al-‘urf dan al-‘aadah
mempunyai makna yang serupa sama ada dari segi perbuatan atau perkataan. Kedua-duanya
membawa maksud suatu kerja yang berulang-ulang dilakukan oleh manusia sehingga
menjadikan tabiat atau perangai pada kebiasaan. Namun begitu, perkara ini hanya
terbatas di dalam hal yang bermanfaat dan tidak langsung bertentangan dengan
syarak, tidak dikira adat atau uruf jika perkara tersebut membawa kepada
kerosakan atau tidak mempunyai nila-nilai baik yang boleh mendatangkan faedah.
Contoh perbuatan yang tidak mendatangkan faedah antaranya ialah, mu’amalah
dengan riba, berjudi, saling menipu dan sebagainya. Walaupun
perbuatan-perbuatan ini telah menjadi kebiasaan bahkan mungkin sudah tidak
dirasa lagi keburukannya, ia tetap tidak dikira adat kerana membawa kepada
keburukan dan bertentangan dengan hukum syarak.
Di antara perbuatan yang ditetapkan hukumnya oleh
Rasulullah SAW berdasarkan adat telah diterangkan di dalam hadis ini:
قدالنبي صلى
الله وسلم المدينة وهم يسلفون فىالسمار السنة والسنتين فقال: من سلف في شمر فليسلف
في كيل معلوم ووزن معلوم الى اجل معلوم
( اخرجه البجارى عن ابن عباس)
“Ketika Nabi SAW datang ke madinah,mereka (penduduk
madinah) telah biasa memberi duit pendahuluan pada buah-buahan untuk tempoh
satu tahun atau dua tahun. Maka nabi bersabda: Barang siapa yang memberi duit
pendahuluan pada buah-buahan, maka berikanlah duit pendahuluan itu pada takaran
yang tertentu, timbangan yang tertentu dan waktu yang tertentu.”
Oleh itu, semua kebiasaan yang bermanfaat dan tidak
bertentangan dengan syarak di dalam muamalah seperti jual beli, sewa menyewa, kerjasama pemilik sawah dengan
penggarap dan sebagainya adalah merupakan dasar hukum, sehingga sekiranya
terjadi perselisihan diantara mereka, maka penyelesaiannya harus dikembalikan kepada
adat kebiasaan atau uruf yang berlaku. Hal ini juga berlaku di dalam
al-ihya’iaitu menghidupkan tanah yang mati dan at-ta’rif iaitu pengumuman tentang barang yang
ditemukan, dan lain-lainnya. Para fuqaha’ telah mengatakan:
كل ما ورد به الثرع مطلقا ولا ظا بط له فيه ولا فى اللغة يرجه فيه الى العرف
“Semua yang datang dari syarak secara mutlak yang tidak
ada ketentuannya di dalam agama dan tidak ada dalam bahasa, maka dikembalikan
kepada uruf.”
CABANG-CABANG KAEDAH AL-’AADAH MUHAKKAMAH
Antara
cabang-cabang kaedah al-a’aadah muhakkamah ialah:
استعمال الناس حجة يجب العامل
“Apa
yang biasa dilakukan oleh orang banyak adalah hujah yang wajib diamalkan.”
Maksud kaedah
ini adalah apa yang sudah menjadi adat kebiasaan dalam kalangan masyarakat,
menjadi pegangan, dalam arti setiap masyarakat menaatinya. Contohnya menjahitkan
pakaianya kepada tukang jahit, sudah menjadi adat kebiasaan bahawa yang
menyediakan benang, jarum, dan menjahitnya adalah tukang jahit.
انما تعتبر العادة إذااضطردت أو غلبت
“Adat
yang dianggap (sebagai pertimbangan hukum) itu hanyalah adat yang berlaku
umum.”
Maksudnya
tidak dianggap adat kebiasaan yang boleh dijadikan pertimbangan hukum jika adat
kebiasaan itu berlaku hanya sekali atau tidak berlaku kepada umum. Kaedah ini
mempunyai dua syarat iaitu, dilakukan secara berulang kali dan berlaku kepada
umum. Contohnya apabilas seseorang melanggan majalah atau surat khabar,
kebiasaannya majalah dan surat khabar itu dihantar ke rumah pelanggan. Jika
pelanggan tidak mendapat majalah atau surat khabar tesebut maka mereka boleh
menuntutnya daripadasyarikat yang dilanggan itu.
العبرة للغالب الشائع لا للنادر
“Adat
yang diakui adalah adat yang seringkali dilakukan bukan yang jarang dilakukan”
Contohnya
di dalam perbahasan isu tempoh hamil yang terpanjang para ulama telah menggunakan
kaedah diatas. Para ulama’ berpendapat tempoh hamil terpanjang tidak akan
melebihi satu tahun.
المعروف عرفا كالمشروط شرطا
“Sesuatu
yang telah dikenal dengan urf seperti yang di syatratkan dengan suatu syarat.”
Maksudnya
adat kebiasaan dalam bermuamalah mempunyai daya ikat seperti suatu syarat yang
dibuat, walaupun tidak dinyatakan secara jelas. Contohnya apabila seseorang
tukang kayu atau tukang cat bekerja membina sesebuah rumah walaupun tidak
mensyaratkan bayaran apa pun, mereka akan mendapat bayaran upah kerana
kebiasaan tukang kayu atau tukang cat apabila bekerja, dia mendapat bayaran.
HUBUNGKAIT KAEDAH DI DALAM BAB HARTA
SEPENCARIAN
PENDAPAT ULAMA’ TENTANG HARTA SEPENCARIAN
Pada dasarnya, konsep harta sepencarian tidak
dibincangkan secara khusus oleh para ulama’. Malah tidak ada sebarang dalil nas
yang jelas berkaitannya. Namun para ulama’ telah memberi pelbagai pandangan
dalam membicarakan tentang harta sepencarian. Ada yang menyebut ia sebagai
“Mata’ al-Bayt” iaitu perkakasan rumah dan ada yang menyebut sebagai “Mal
al-Zawjayn” yang bermaksud harta suami isteri. Apa yang jelas, harta
sepencarian tidak boleh dianggap sebagai satu akad perkongsian (al-Syarikah).
Ini kerana harta sepencarian dikuatkuasakan melalui perkongsian hasil suami dan
isteri. Walaupun ketika akad nikah wujud satu bentuk akad, namun ia tidak boleh
dianggap akad bagi kontrak secara langsung menimbulkan harta sepencarian. Ini
kerana, ijab dan qabul tersebut hanyalah bertujuan menghalalkan satu pergaulan
antara suami dan isteri sahaja.
Di dalam kitab Qawaid al-Fiqhiyyah, yang ditulis oleh
Dr Abdul Karim Zaidan yang bermaksud Uruf mengikut Jumhur al-Fuqaha’ telah
ditakrifkan sebagai sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia untuk
mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan
menjadi satu perkara yang lumrah sama ada uruf itu qauli atau amali, am atau
khas, sahih atau fasid.
Sayyid Sabiq telah mengulas berdasarkan surah
al-Baqarah ayat 228 mengenai perkara ini. Allah berfirman:
ولهن مثل ما الذي عليهن بالمعروف وللرجال
عليهن درجة
Bermaksud: Dan isteri-isteri itu ada hak
yang sama seperti kewajibannya secara yang sepatutnya; dan suami mempunyai satu
kelebihan atas isterinya.[1]
Isteri itu
mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka terhadap
suami dengan cara yang sepatutnya yakni sebagaimana seorang isteri menanggung
tanggungjawab terhadap suami yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik.
Dalam pada itu suami itu mempunyai satu darjat kelebihan atas isterinya kerana
suami yang berkuasa mengawalnya dan memberi nafkah dan ayat tersebut memberi
hak kepada perempuan sama dengan lelaki.
Sayyid Sabiq
seterusnya menjelaskan bahawa dasar yang sesuai dengan fitrah dan tabiat
semulajadi manusia itu sendiri maka yang lelaki lebih menumpukan kepada
pekerjaan dan perusahaan di luar rumah, manakala perempuan menjalankan
pekerjaan di dalam rumah seperti mengurus rumahtangga, mendidik anak-anak,
menyediakan segala kemudahan bagi menjadikan suasana dalam rumah tenang dan
tenteram.
Maka sebab
itu ditugaskan kepada kaum lelaki kerja yang sesuai baginya, begitu juga
ditugaskan kepada perempuan dan dengan itu barulah rumahtangga berjalan dengan
baik di dalam dan di luar rumah tanpa menjejaskan mana-mana pihak.
Selanjutnya
Sayyid Sabiq membawa contoh di mana Rasulullah S.A.W telah memutuskan ke atas
Fatimah bertugas atau menjalankan pekerjaan di rumah, manakala Sayyidina Ali
berusaha dan bekerja di luar rumah.
Pekerjaan
yang dilakukan oleh suami isteri diakui oleh Rasulullah S.A.W sebagai tanggungjawab
masing-masing itu ada hubungan dengan apa yang diperolehi atau hasil yang
didapati daripada pekerjaan itu. Oleh kerana suami isteri mempunyai tugas masing-masing
maka sudah patut dan wajar harta yang diperolehi dari sama-sama bekerja itu
dijadikan harta bersama (sepencarian) di antara suami isteri selagi tidak ada
apa-apa bukti atau pengakuan bahawa harta-harta yang diperolehi itu adalah hak
masing-masing sama ada daripada pemberian orang lain atau pusaka dan
sebagainya.[2]
Ini
sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, di dalam
kitab al-Turuq al-Hukumiyyah fi al-Siasah al-Shariyyah iaitu:
ومن ذلك : أن جمهور الفقهاء يقولون في تداى
الزوجين والصانعين لمتاع البيت والدكان. أن القول قول من يدل الحال على صدقة.
والصحيح في هذه المسألة : أنه لا عبرة باليد الحسية, بل وجودها كعدمها. ولو
اعتبرناها لإعتبرنا يد الخاطف لعامة غيره وعلى رأسه عمامة, وأخر خلفه حاسر الرأس.
Bermaksud : Sebilangan besar ahli
perundangan Islam (Fuqaha’)sepakat mengatakan dalam kes dua orang suami isteri
yang berselisih berhubung dengan sebuah kedai bahawa percakapan yang boleh
diterima ialah yang menunjukkan keadaan yang boleh diterima kebenarannya dan
yang tepat dalam kes ini; Tidak boleh dianggap benar semata-mata memegang
dengan tangan malah adanya seperti tiada. Dan kalau keadaan demikian boleh
diterima nescaya dapat diterima kebenaran seorang perampas serban orang lain
yang mana serban yang dirampas itu berada di tangannya, dan di atas kepalanya
sudah ada serban manakala orang lain yang yang mengejar dibelakangnya tidak
memakai serban.
Dalam
hubungan ini boleh diqiyaskan perkakas rumah dengan harta-harta lain seperti
rumah, tanah dan sebagainya yang diperolehi semasa kedua-duanya masih bersuami
isteri selagi tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa harta-harta itu sudah
dibahagi atau ada hak masing-masing secara berasingan.
Seterusnya,
di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin, al-Sayyed Abdul Rahman bin Muhammad bin
Husin bin Umar menyatakan :
“Telah bercampur harta suami dan isteri dan
tidak diketahui harta sesiapa yang lebih banyak dan tidak ada tanda-tanda yang
dapat membezakan harta salah seorangnya,kemudian berlaku perceraian keduanya
atau meninggal dunia, maka tidak sah salah seorang dari mereka (suami isteri
atau warisnya) memerintah (mengguna) sesuatu daripada harta itu sebelum dapat
dibezakan atau sebelum dibuat perdamaian (al-sulh)kecuali bersama-sama dengan
pemiliknya sebab tidak ada murajjih (tanda yang membezakan di antara berkenaan)
seperti mereka berkata, jika bercampur burung merpati keduanya dan ketika itu
tidak dapat diketahui keduanya atau tidak dapat dibezakan, hendaklah ditangguh
sehingga suami atau isteri waris berdamai (al-sulh) atau menyerah (hibah)
dengan sama banyak atau lebih kurang jika mereka berkelayakan (kompeten) dan
tidak boleh berkurang daripada setengah bagi yang mahjur iaitu orang yang tidak
berkelayakan (tidak kompeten). Tetapi jika berlaku kebiasaan yang mana salah
seorang daripada keduanya mendapat pendapatan yang lebih banyak dari seorang
lagi, maka perdamaian atau penyerahan adalah berdasarkan kepada keadaan
demikian. Jika mereka tidak bersetuju maka pihak yang memiliki atau memegang
harta kana diterima cakapnya dengan sumpahnya. Tetapi jika harta itu dimiliki
oleh kedua-duanya, maka kedua-dua pihak bersumpah dan dibahagi dua.”[3]
KONSEP DAN AMALAN ADAT HARTA
SEPENCARIAN
Kini harta sepencarian telah pun
dianggap sebahagian daripada undang-undang Islam. Malah Mahkamah Syariah telah
pun diberi bidangkuasa khusus dan eksklusif bagi membicarakannya. Ia juga telah
diperuntukkan dalam semua Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri
dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM). Misalnya
dibawah Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
“harta sepencarian”[4]
ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa
perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum
Syarak. Berdasarkan takrif yang diperuntukkan, bolehlah difahami bahawa harta
sepencarian termasuklah harta samada harta alih atau tidak alih yang diperoleh
suami dan isteri melalui usaha mereka bersama dan bukannya daripada satu pihak
sahaja semasa perkahwinan. Harta yang dikumpul selepas perceraian atau kematian
tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.
Namun kini, konsep harta sepencarian telah mula diluaskan termasuk juga
harta yang diperoleh suami melalui usahanya sendiri semasa perkahwinan dengan
sumbangan secara tidak langsung daripada isteri. Sumbangan tidak langsung
bermaksud suatu usaha yang disumbangkan oleh mana-mana pasangan dalam
mendapatkan harta itu di mana usaha yang disumbangkan adalah kecil berbanding
dengan hasil atau manfaat sumbangan itu yang menghasilkan sesuatu harta yang
besar. Ini bermaksud, salah satu pasangan memberi sumbangan secara tidak
langsung sama ada melalui idea, dorongan, nasihat, keselesaan, ketenteraman dan
sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha dan berjaya dalam
mendapatkan harta itu. Dalam kes Tengku Anum Zaharah, mahkamah memutuskan bahawa
harta yang menjadi pertikaian ialah harta sepencarian hasil daripada sumbangan
tidak langsung isteri yang berketurunan berpengaruh. Kesan pengaruh isteri
membolehkan suaminya mendapat gelaran Dato’ dan berjaya memajukan
perniagaannya.
Bagi tuntutan harta sepencarian
di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan
selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas
kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai
bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah
itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian[5].
Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di
mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan. Tuntutan harta
sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan. Seksyen 23(10)(b)
memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya
diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan
poligami disahkan[6].
Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003
menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk
membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan[7].
Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga
keluar agama Islam. Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan
khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya
akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku
kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian
sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa
sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.
Kaedah penyelesaian apabila
melibatkan harta sepencarian ialah melalui kaedah sulh iaitu dengan cara
berdamai samada melalui pengakuan dan penyerahan hak pemilikan kepada satu
pihak lagi atau nilai harta yang dipersetujui dibahagi mengikut persetujuan.
Persetujuan ini boleh dibuat samaada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai
sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah.
Kaedah lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan sedang berlangsung.
Hakim kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua pihak untuk mencapai
persetujuan bersama.
APLIKASI KAEDAH DI DALAM SISTEM
PERUNDANGAN DI MALAYSIA
APLIKASI KAEDAH DI DALAM AKTA DAN
ENAKMEN
ENAKMEN 6 TAHUN 2002
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2002
ENAKMEN UNDANG-UNDANG KELUARGA ISLAM 2002
BAHAGIAN VIII -
PELBAGAI
Pembahagian Harta Sepencarian
Pembahagian Harta Sepencarian
Seksyen 122. Kuasa Mahkamah memerintah pembahagian harta sepencarian.[8]
(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang-
(1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang-
(a) takat sumbangan-sumbangan yang
telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi
memperolehi aset-aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
dan, tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah
membuat pembahagian yang sama banyak.
(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada-
(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada-
(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh
pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan
memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;
(b) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
(b) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,
dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan
itu, Mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut
apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi, walau bagaimana pun, pihak
yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu
kadar yang lebih besar.
(5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.
(5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.
APLIKASI KAEDAH DI DALAM KES MAHKAMAH
Kes 1
Noraini
binti Mokhtar lwn. Abd. Halim bin Samat
[JH 20
(1426H) Jld 1, 67][9]
Fakta Kes
Perayu dalam kes ini mengemukakan rayuan
tidak puas hati di atas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang menolak
tuntutannya pada 18 Disember 2003. Perayu Puan Noraini Bt Mokhtar berumur 44
tahun mengemukakan Tuntutan Harta Sepencarian di dalam Mahkamah Tinggi Syariah
Kota Bharu menuntut sebanyak 2/3 daripada harta-harta berikut:
1. Sebuah rumah banglo dua tingkat yang
bernilai sebanyak RM150,000.00
2. Tanah tapak rumah Lot No. 727 Mukim
Langgar, Jalan Long Yunus, Kota Bharu bernilai sebanyak RM80,000.00
3. Tanah Lot No. 4924 Mukim Pasir Genda, Tanah
Merah 2/3 bahagian yang bernilai sebanyak RM20,000.00 semuanya berjumlah RM240,000.00.
Tuntutan tersebut dikemukakan di atas Abd.
Halim bin Samat berumur 45 tahun, iaitu bekas suaminya yang telah berkahwin
pada 23.2.1984 yang memakan masa 18 tahun 8 bulan yang dikurniakan enam orang
anak dan bercerai pada 6.10.2002 di Mahkamah Rendah Syariah Kota Bharu.
Rumah banglo dua tingkat di atas tanah Lot 727 itu dibuat dari hasil
wang bersama dan tanah tapak rumah sudah didaftar atas nama bersama, iaitu ½
bahagian bagi Perayu dan ½ bahagian kepada Responden. Manakala tanah Lot No.
4924 dibeli semasa suami isteri, dan didaftar atas nama Responden. Perayu
mengemukakan tiga orang saksi bagi menyokong tuntutannya di mana salah seorang
daripadanya ialah bapanya yang menerangkan bahawa rumah tersebut pada asalnya
dibuat untuk dirinya (bapa) sendiri, tetapi selepas itu ditolak dengan bayaran
kepada anaknya Puan Noraini Bt Mokhtar. Saksi yang kedua ialah kontraktor dan
tukang yang membuat rumah tersebut. Manakala saksi yang ketiga adalah adik
beradik Perayu yang terlibat dengan kerja-kerja membuat rumah termasuk memasang
mozek dan bilik air. Dan saksi ini menerangkan bahawa Perayu yang urus membuat
rumah dan kenyataan ini diakui oleh Responden.
Diputuskan
Mahkamh Rayuan dengan sebulat suara
memutuskan bahawa RAYUAN DITERIMA dan hukuman Hakim Mahkamah Tinggi
Syariah Kota Bharu yang dijatuhkan pada 18.12.2003 DIBATALKAN. Dan
mahkamah ini membuat keputusan dan menghukum harta-harta yang dituntut iaitu:
1. Sebuah rumah banglo dua tingkat yang
bernilai sebanyak RM150,000.00
2. Tanah tapak rumah Lot No. 727 Mukim
Langgar, Jalan Long Yunus, Kota Bharu bernilai sebanyak RM80,000.00
3. Tanah Lot No. 4924 Mukim Pasir Genda, Tanah
Merah 2/3 bahagian yang bernilai sebanyak RM20,000.00 semuanya berjumlah
RM240,000.00, adalah sabit sebagai harta sepencarian di antara Perayu
dan Responden, dan hendaklah dibahagi dua. Masing-masing mendapat ½
seorang dan hutang yang berpunca dari pembinaan rumah hendaklah
masing-masingmembayarnya dengan tertanggung ke atas pihak yang kekurangan
hutangnya untuk membayar kepada pihak yang banyak hutangnya bagaimana yang
dijelaskan dalam alasan penghakiman ini.
Alasan Penghakiman Dato’ Haji Daud bin
Muhammad, KHS:
Dari segi hukum
adat, Mahkamah berpendapat walaupun tidak ada perkataan Harta Sepencarian dalam
Hukum Syarak secara nyata, namun ianya adalah merupakan adat melayu yang telah
diterima dan mendatangkan kebaikan kepada kaum wnaita khususnya di Negeri ini.
Di dalam Islam apabila sesuatu ‘adat’ atau ‘uruf’ diakui kebaikannya dan telah diberi
pengiktirafan undnag-undang, kedudukannya tidak lagi sebagai adat, akan tetapi
ianya bertukar menjadi suatu peraturan atau perundnagan yang mesti diikuti dan
dikuatkuasa. “al-Aadah Muhakkamah” ertinya adat itu diakui dan diberi
pengiktirafan undang-undang.
Dari segi hukum syarak, pembinaan rumah yang dituntut adalah jelas dari
sumbangan bersama mengikut pengakuan yang diberi oleh kedua-dua pihak Perayu
dan Responden. Dan masing-masing terikat dengan ikrar masing-masing. Mengenai
tuntutan Perayu di atas Lot 4924 di Pasir Genda, Tanah Merah yang didakwa oleh
Responden bahawa tanah itu dibeli olehnya seorang sahaja dengan wang gajinya,
mahkamah berpendapat bahawa asas hubungan di antara suami isteri mengikut Hukum
Syarak adalah berdasarkan persamaan hak antara lelaki dan perempuan. Firman
Allah swt di dalam ayat 228 surah Al-Baqarah memberikan hak kepada isteri
sebanding dengan hak suami kepadanya. Setiap kali isteri diberi sesuatu beban,
maka suami pun dikenakan beban yang sebanding dengannya.
Aset(harta) tanah Lot No. 727 Mukim Langgar, Jalan Long Yunus, Kota Bharu
yang dituntut dalam kes ini adalah didaftarkan atas nama Perayu dan Responden
masing-masing ½ bahagian. Mengikut kaedah fiqh –
الأصل بقاء ما كان على ما كان
“Pada asalnya sesuatu itu berkekalan kedudukannya seperti di
masa lalu.”
Bererti pada
asalnya harta itu atas nama Perayu dan Responden dan tidak ada apa-apa
keterangan atau bukti yang menunjukkan sebaliknya. Ini memberi puashati kepada
mahkamah bahawa harta sepencarian masing-masing mendapat ½ daripadanya.
Manakala rumah yang dituntut (sebuah rumah banglo dua tingkat) yang berada
dalam tanah tersebut tidak ada apa-apa keterangan atau bukti yang menunjukkan
bahawa rumah berkenaan dimiliki oleh salah satu pihak. Dan dengan demikian
ianya dimiliki bersama oleh Plaintif dan Responden.
Keputusan
Mahkamah Rayuan
yang bersidang pada hari ini setelah mendengar hujah dari Peguam Syarie
kedua-dua pihak dan meneliti segala rekod rayuan dan dokumen-dokumen yang berkaitan,
dengan sebulat suara memutuskan bahawa IPILAN DITERIMA dan hukuman
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu yang dijatuhkan pada 18.12.2003 DIBATALKAN. Dan mahkamah ini membuat keputusan dan
menghukum harta-harta yang dituntut iaitu:
i.
Sebuah rumah banglo dua
tingkat yang bernilai sebanyak RM150,000.00
ii.
Tanah tapak rumah Lot No.
727 Mukim Langgar, Jalan Long Yunus, Kota Bharu bernilai sebanyak RM80,000.00
iii.
Tanah Lot No. 4924 Mukim
Pasir Genda, Tanah Merah 2/3 bahagian yang bernilai sebanyak RM20,000.00 semuanya
berjumlah RM240,000.00, adalah sabit sebagai harta sepencarian di antara Perayu
dan Responden, dan hendaklah dibahagi dua. Masing-masing mendapat ½ seorang dan
hutang yang berpunca dari pembinaan rumah hendaklah masing-masingmembayarnya
dengan tertanggung ke atas pihak yang kekurangan hutangnya untuk membayar
kepada pihak yang banyak hutangnya bagaimana yang dijelaskan dalam alasan
penghakiman ini.
Kes 2
Hamidah bt Abdullah lwn. Mohd Johanis bin Busu
[JH 26 (1429H) Jld 2, 209][10]
Fakta Kes
Perayu dan Responden telah berkahwin mengikut Hukum Syarak pada 6 Mei
1968 di Jajahan Pasir Mas, Kelantan. Pada 28 Januari 1993, Perayu dan Responden
telah bercerai talaq satu kali pertama di Mahkamah Qadhi Jajahan Kota Bharu,
Kelantan. Selama tempoh perkahwinan lebih kurang 25 tahun, mereka dikurniakan 7
orang cahayamata. Pada asalnya, di dalam kes ini Responden memohon di Mahkamah
Tinggi Syariah untuk mensabitkan harta tanah Lot 722 GM 857, Mukim Bayang
Jajahan Kota Bharu, Kelantan dan sebuah rumah dua tingkat di atas tanah
tersebut sebagai harta dom yang dibina daripada ppinjaman kerajaan, tetapi
Hakim Mahkamah Tinggi Syariah telah memutuskan bahawa harta tersebut adalah
harta sepencarian di antara Perayu dan Responden. Semasa dalam tempoh
perkahwinan Responden adalah bekerja sebagai guru berijazah manakala Perayu
sebagai suri rumah dengan memberi perkhidmatan kepada suami dan menjaga
anak-anak.
Di dalam kes ini, perayu
membuat rayuan terhadap keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Syariah
berkaitan dengan tuntutan harta sepencarian pada 9 Ogos 2005. Hakim bicara
memutuskan bahawa asset rumah yang bernilai sebanayk RM78,879.46 dapat sebanyak
2/3 kepada Plaintif dan 1/3 kepada Defendan. Perayu di dalam kes ini merayu
terhadap kadar pembahagian harta rumah di mana Perayu mendapat 1/3 daripada
jumlah sebanyak RM78,879.46.
Diputuskan
Mahkamah rayuan memutuskan dengan sebulat suara menerima rayuan dengan
sedikit pindaan di atas keputusan Hakim Bicara iaitu menghukum supaya Responden
bersumpah menafikan yang dia memberi rumah yang dituntut kepada Perayu dan
anak-anaknya sebagaimana dakwaan Perayu semasa perbicaraan, manakala bersumpah
demikian sabitlah harta yang dituntut kepada Responden sebanyak 2/3 dan kepada
Perayu sebanyak 1/3 sebagai harta sepencarian atas persetujuan pihak Responden
mengikut nilai semasa dan kos ditanggung oleh pihak masing-masing.
Penghakiman Mahkamah Rayuan Syariah
Isu di dalam kes ini adalah :
i.
Berapa bahagian daripada harta sepencarian harta tanah
di Lot 722 GM 857, Mukim Bayang, Jajahan Kota Bharu, Kelantandan sebuah rumah
dua tingkat di atas tanah tersebut dapat kepada Perayu dan Responden.
Fakta-fakta yang perlu dipertimbangkan untuk menentukan kadar bahagian
daripada harta sepencarian adalah berdasarkan alasan-alasan seperti telah
dinyatakan. Harta tersebut adalah diputuskan sebagai harta sepencarian dan
tidak ada bantahan daripada kedua-dua belah pihak yang diperolehi bersama oleh
kedua-dua suami isteri semasa dalam tempoh perkahwinan.
Di dalam Islam, apabila
‘adat’ dan ‘uruf’ diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan
undang-undang, kedudukannya adalah menjadi suatu peraturan atau perundangan
yang mesti diikuti dan dikuatkuasakan. Di dalam kaedah fiqh atau Qawaid
al-Fiqhiyyah menyatakan:
المعروف عرفا كالمشروط شرطا
“Adat
itu diperakui dan diberi pengiktirafan undang-undang.”
Perayu di dalam usaha untuk mendapatkan harta-harta tersebut telah
memberi sumbangan secara tak langsung kepada Responden. Perayu sebagai suri
rumah menguruskan rumahtangga seperti mendidik anak dan menguruskan makan minum
Responden dan anak-anak untuk mendapatkan asset tersebut. Khidmat dan kerja
seorang isteri di dalam menguruskan hal-hal rumahtangga patut diberi
pertimbangan yang sewajarnya.
Perayu pada masa perkahwinan adalah seorang suri rumah. Walaupun begitu,
semasa Responden melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah di Universiti telah
melakukan pelbagai kerja sampingan untuk membantu meringankan beban Responden.
Pada masa itu, Responden hanya mendapat separuh gaji iaitu sebanyak RM400.00.
Responden telah membuat pinjaman daripada Bahagian Pinjaman Perumhan
untuk membeli harta tersebut. Bayaran balik pinjaman perumahan tersebut dibayar
oleh Responden sendiri tanpa bantuan Perayu. Walaupun begitu, Perayu
semasa permulaan untuk membeli harta
tersebut telah mendahulukan wangnya sebanyak lebih kurang RM5000.00. Sepanjang
tempoh pembiayaan balik pinjaman perumahan tersebut, Responden telah memberi
nafkah kepada Perayu. Untuk mendapatkan nafkah, Perayu telah berusaha sendiri
dengan melakukan berbagai-bagai kerja sambilan.
Jika dilihat dari segi sumbangan yang dibuat oleh Perayu dalam usaha
untuk mendapatkan harta tersebut, Perayu telah membuat sumbangan yang cukup
besar. Ini kerana Perayu sanggup untuk tidak menerima nafkah daripada
Responden, malahan telah membuat berbagai-bagai kerja sambilan untuk menampung
kehidupan mereka. Dengan cara bekerja sampingan telah banyak membantu Responden
dalam usaha untuk mendapatkan harta tersebut. Ini bermakna oleh sebab Perayu
membantu Responden maka Responden dapat membuat bayaran balik pinjaman
perumahan tersebut.
Peguam Syarie Responden semasa berhujah di Mahkamah ini bersetuju di
atas keputusan Hakim Bicara bahawa harta yang dituntut sebagai harta
sepencarian dan tidak ada apa-apa halangan serta menerima keputusan pembahagian
atas kadar 1/3 dapat kepada Perayu dan 2/3 dapat kepada Responden. Perayu di
dalam kes ini memberi kenyataan kepada Mahkamah bahawa harta tersebut telah
diberikan kepada Perayu dan anak-anak oleh Responden sebagai pemberian hidup (hibah).
Walaubagaimanapun, Mahkamah tidak berpuashati terhadap dakwaannya kerana
Perayu tidak dapat mengemukakan bayyinah untuk membuktikan dakwaan
Perayu dan Responden menafikannya. Oleh itu, Mahkamah mengarahkan agar
Responden bersumpah menafikan bahawa rumah tersebut adalah sebagai pemberian
hidup kepada Perayu dan anak-anak.
Keputusan
Mahkamah rayuan yang bersidang pada hari
ini (Isnin) 21 April 2008 setelah mendengar hujah-hujah daripada Peguam Syarie
bagi pihak Perayu dan Responden serta meneliti segala rekod rayuan dan
dokumen-dokumen berkaitan, dengan sebulat suara menerima rayuan dengan sedikit
pindaan di atas keputusan Hakim Bicara iaitu menghukum supaya Responden
bersumpah menafikan yang dia memberi rumah yang dituntut kepada Perayu dan
anak-anaknya sebagaimana dakwaan Perayu semasa perbicaraan, manakala bersumpah
demikian sabitlah harta yang dituntut kepada Responden sebanyak 2/3 dan kepada
Perayu sebanyak 1/3 sebagai harta sepencarian atas persetujuan pihak Responden
mengikut nilai semasa dan kos ditanggung oleh pihak masing-masing.
KESIMPULAN
Jika dilihat sejarah lampau, harta sepencarian telah pun dianggap
sebagai satu bentuk adat dalam masyarakat Melayu. Menurut Adat Pepatih, ia disebut
sebagai “carian laki bini”. Malah jika diamati, sebelum pindaan Perkara
121(1A), kebanyakan keputusan para hakim Inggeris berkaitan harta sepencarian
lebih cenderung merujuk kepada pemakaian adat setempat orang Melayu. Dalam kes
Robert lwn Boto’, diputuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian dianggap
sebagai harta sepencarian dan mahkamah akan membahagikan setiap setengah
bahagian jika pihak-pihak bersetuju. Ini adalah berdasarkan kepada anggapan
bahawa ia adalah satu adat dan bukannya hukum syarak.
Menurut hukum syarak pula seperti
yang telah kita maklum harta sepencarian ini tidak dijelaskan oleh apa-apa
dalil nas, namun ulama’ masih lagi memperakuinya berdasarkan konsep uruf (adat)
dan maslahah setempat. Ini mengambil kira soal keadilan kedua-dua pihak selaras
firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur Ayat 32 menyatakan:
ولهن مثل ما الذي عليهن بالمعروف وللرجال
عليهن درجة
“Orang
–orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan
beroleh bahagian daripada usahanya juga.”[11]
Maka apabila sesuatu uruf itu diperakui
baik kedudukannya dan sesuai oleh undang-undang, maka ia akan menjadi peraturan
yang perlu dipatuhi. Malah ia selaras dengan kaedah fiqh antaranya ialah “adat
yang diakui sebagai hukum” dan juga “uruf itu dii ktibarkan oleh
syarak”.
[1] Surah
al-Baqarah ayat 228
[2] JH
20 (1426H) Jld 1
[3]
Ibid
[4] Seksyen
2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003
[5] Seksyen
122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003
[6] Seksyen
23(10)(b)
[7] Seksyen
119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003
[8]
Enakmen 6 Tahun 2002, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002
[9] JH
20 (1426H) Jld 1, 67
[10] JH
26 (1429H) Jld 2, 209
[11] Surah
An-Nur Ayat 32
Comments
Post a Comment